Thursday 16 May 2013

Sambutan Hari Guru SMK Munshi Sulaiman

16 Mei 2013, Khamis



Seperti tahun-tahun sebelumnya, sambutan hari guru di SMK Munshi Sulaiman tetap disambut dengan meriah. Bertemakan Guru Malaysia : 1 Aspirasi 1 Agenda, sambutan pada tahun ini benar-benar memberikan pengertian yang mendalam bagi warga guru khasnya di SMK Munshi Sulaiman. 

Ucapan dari Ketua Pengawas

Ucapan dari Puan Pengetua, Puan Hajah Faridah
Bt Kalam

Walaupun hujan gerimis turun dari pagi sehingga ke penamat majlis sambutan, namun ia bagaikan tidak menghalang bagi warga sekolah untuk sama-sama memeriahkan sambutan pada tahun ini. Uniknya, buat pertama kalinya baju batik rasmi sekolah yang diilhamkan oleh Puan Pengetua telah digunakan oleh warga guru dan staff sekolah sekaligus memberikan tona setiakawan yang erat di SMK Munshi Sulaiman.

Sebahagian dari pelajar PPKI
yang turut sama memeriahkan sambutan

Cikgu Kamisan dan Cikgu Abdul Rashid
berbaju batik rasmi sekolah


Nyanyian lagu Guru Malaysia dan Biarku Menjadi Lilin
oleh warga guru SMKMS


Begitu juga di PPKI, sambutan hanya dijalankan secara sederhana namun tetap memberikan sejuta satu kenangan manis bagi warganya. Satu jamuan kecil-kecilan juga telah diatur bagi meraikan sambutan hari guru ini. Alhamdulillah walaupun kecil, rezeki yang dikongsi bersama tetap memberikan kegembiraan yang indah.

Jamuan kecil-kecilan warga PPKI

Memotong kek

Pelajar-pelajar PPKI juga telah bersama-sama menyiapkan cenderahati khusus untuk diserahkan kepada Puan Pengetua iaitu Puan Hajah Faridah Bt Kalam. Mohd Azuan bin Bibit dan Mohd Amirul Al-Bukhori telah ditugaskan untuk menyerahkan cenderamata ini kepada Puan Pengetua.

Menyerahkan cenderahati sambutan hari guru
dari warga PPKI kepada Puan Pengetua

Terima kasih kepada para anak istimewa yang sudi memberikan hadiah kepada guru-guru PPKI. Sesungguhnya hanya Allah SWT sahaja yang mengenal hati dan budi kalian yang suci. Di kesempatan ini juga warga PPKI SMK Munshi Sulaiman ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh insan yang bergelar guru di dunia ini. Guru kaulah penyuluh malam gelita kami.

Cikgu Ku Yang Ku Jumpa Kelmarin


Cikgu ku yang kujumpa kelmarin

Sudah tua benar
Jalannya perlahan
Matanya sayup
Namun tangannya terus erat menggengam salam
Dan lidahnya yang fasih itu
Masih seperti masa mudanya ….

Cikgu ku yang ku jumpa kelmarin

Adalah satu dunia  yang gagah
Ilmunya membentang luas
Ia memberikan padang ragut pengalaman
Untuk kami cuba
Setiap bakat dan kelakuan kami
Tanpa ia minta sebarang ganjaran ….

Cikgu ku yang ku jumpa kelmarin

Nasihatnya ialah akar tunjang
Marahnya ialah gunung berapi
Senyumnya ialah penawar
Ketawanya seperti salji
Penyejuk hati – hati kami
kala gundah berperang hati
Di medan sayembara…

Cikgu ku yang ku jumpa kelmarin

Kadang kala kami jadi kurang ajar
Bahasa kami menjadi sialan
Sikap kami menjadi binatang
Namun ia tetap sabar
Walau kadang ada air jernih menitis
Disimpannya dengan tenang
Setiap luka hatinya terguris ….

Cikgu ku yang ku jumpa kelmarin

Doanya tidak lekang untuk kami
Harapannya menggunung
Jika gagal yang mendatang
Senyumnya tetap meleret di pipi
Jika jaya yang bertandang
Ketawanya semakin lantang
Cikgu ku tidak ambil hati
Cikgu ku tak pernah sesal

Pada lewat kedewasan ini
Aku mengenang setiap bahasamu cikgu
Dalam sepi yang meracun jiwa
Aku tahu
Aku berhutang sejuta satu nikmat
Yang diberi tuhan
Dalam ilmu mu cikgu ….

Kenanglah cikgu mu selalu
Dimana-mana dirimu berada
Ingatlah …..
Ketika jahil menguasai
Ketika hingusmu masih mengalir
Ketika tubuh sebesar pehamu
Ketika otakmu kosong dan lihai
Ingatlah …..
Ada insan yang membeli setiap bodohmu
Tanpa ia segan dan silu
Mengajarmu erti hidup
Hingga engkau kenal
Dunia dan neraka…

Dan itulah cikgu mu
Dalam sepi hujung usianya
Tidak pernah ia mengharap ganjaran
Hanya tegur sapa dari anak murid
Membeli semula setiap rentak
Ilmunya yang halal…

Cikgu ku yang ku jumpa kelmarin

Dengan hati yang basah
Aku katakan
‘’engkau penyuluh jalan gelap kami’’
Selamat Hari Guru Cikgu ku
Walau di mana tugasanmu
Engkau cikgu ku
Selautan ilmu yang mencurah !!!!


Hafez j.malim 2011
Teratak Tayar
Kapit Sarawak

PPKI SMK MUNSHI SULAIMAN
BERDIKARI DAN BERBAKTI

No comments:

Post a Comment